_

_

counter

Carian

Wednesday 7 May 2014

Berita Pendidikan




Tingkat Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran




Ajar Ikut FPK




ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran





Friday 2 May 2014

CHALK AND TALK



'Chalk and Talk' telah banyak dibahaskan dalam dunia pendidikan. Kadang kala perbahasan tersebut seolah-olah 'chalk and talk' adalah sesuatu yang salah atau sesuatu yang tidak betul. Setujukah anda?

Lihat pandangan-pandangan berkaitan 'Chalk and Talk'


     








Tuesday 29 April 2014

Pendekatan Pengajaran Matematik Yang Dilaksanakan Dalam Bilik Darjah



Pengenalan   

Pendekatan membawa maksud perihal kaedah seperti cara, langkah dan sebagainya yang diambil bagi memulakan atau melaksanakan sesuatu tugas. Pendekatan merupakan satu latar belakang falsafah atau pandangan mengenai idea utama yang hendak dibahaskan dan merupakan satu aksioma iaitu penyataan yang diterima umum dan menjadi asas kepada sesuatu huraian, (Parera, 1986). Menurut Edward M Anthony (1963) pula, pendekatan merupakan satu set andaian yang saling berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Ia haruslah berlandaskan model, prinsip atau teori pembelajaran.  Dalam konteks ini, aksiomatik ialah kenyataan yang dianggap benar tanpa memerlukan sebarang bukti atau alasan.

Pendekatan pengajaran pula bermaksud aspek atau kaedah yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu isi pelajaran atau sesuatu kemahiran. Ia bertujuan untuk memudahkan pelajar menerima dan memahami sesuatu isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Merujuk kepada konsep, pendekatan ialah sesuatu yang paling abstrak dan global di mana ia merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Pendekatan yang baik dan berkesan mampu menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran menarik dan bermakna.

Walau bagaimanapun, pendekatan adalah berbeza daripada strategi dan kaedah. Strategi merupakan satu susunan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat atau tujuan dengan menggunakan tenaga, masa dan kemudahan yang diperoleh secara optimum. Ia mengambil kira segala aspek pembelajaran termasuk pemilihan bahan, masa dan sebagainya. Strategi lebih mengambil kira objektif jangka panjang. Manakala, kaedah merupakan tindakan guru yang sistematik bertujuan mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Ia merupakan usaha keseluruhan yang terdiri daripada prosedur tersusun berdasarkan pendekatan yang dipilih. Kaedah lebih bercorak jangka pendek. Merujuk Ishak Ramly (2006), kaedah merupakan satu rancangan tentang apa yang akan dilaksanakan sesuai dengan situasi bagi mencapai sesuatu objektif pengajaran. Kesimpulannya, ketika melaksanakan pengajaran berdasarkan pendekatan yang dipilih, guru perlu memilih kaedah yang sesuai untuk digunakan. Usaha mengenal pasti dan memilih kaedah yang sesuai bagi  memenuhi pendekatan yang ditentukan disebut strategi.


Pendekatan Pengajaran dalam Bilik Darjah

Pendekatan Induktif

Dalam pendekatan induktif, guru memberi beberapa contoh yang kesemuanya mempunyai konsep dan peraturan konsep yang sama. Walau bagaimanapun, murid perlu mencuba mencari peraturan konsep melalui contoh-contoh yang diberi kerana ia tidak dinyatakan oleh guru. Menurut B. Seaton (1982), pembelajaran melalui induktif merujuk kepada pelajar mengalami satu proses mental yang mana ia memerhati peristiwa-peristiwa tertentu untuk memperoleh satu generalisasi.

Melalui pendekatan ini, guru menunjukkan beberapa contoh dan bukan contoh sesuatu konsep yang dipelajari. Pelajar kemudiannya dikehendaki mengelaskan  contoh-contoh tersebut kepada contoh dan bukan contoh dan seterusnya menerangkan sebab berdasarkan ciri-ciri penting peraturan konsep yang dipelajari. Melalui latihan sedemikian, pelajar akan mulai faham akan sesuatu konsep yang sama yang terdapat dalam semua contoh.

Pendekatan Deduktif

Pendekatan deduktif ialah pendekatan yang melibatkan guru menyampaikan pelajaran berasaskan kepada satu generalisasi, prinsip atau hukum untuk menghasilkan contoh. Sebelum memulakan pengajaran, guru bermula dengan peraturan konsep atau suatu penyataan am tentang apa yang akan dibuktikan. Guru memberi contoh yang memberi bukti tentang peraturan konsep. Guru mencungkil ciri-ciri penting dan bukan penting konsep berkenaan dengan menyoal murid. Guru menggunakan teknik menyoal bagi memudahkan pelajar membuat generalisasi.

Dalam pendekatan ini, kemahiran pelajar akan diuji. Sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan pengajaran terancang dan melibatkan kepelbagaian aktiviti. Pendekatan deduktif ini  melibatkan alat  bantu mengajaryang sesuai serta melibatkan bantuan dan bimbingan guru. Ciri-ciri yang dinyatakan ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelajar dalam melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pendekatan Masteri

Pendekatan masteri ialah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokus kepada penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang dipelajari. Guru perlu memastikan pelajar menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan peruntukan masa yang secukupnya dan proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang mestilah sesuai, berkualiti dan dilaksanakan secara sistematik oleh guru supaya setiap pelajar dapat menguasai sekurang-kurangnya 80% dalam ujian sumatif mengikut kriteria atau ‘standard’ yang telah ditetapkan pada awal pembelajaran. Pendekatan masteri memberi fokus kepada kebolehan dan keperluan yang berbeza, penguasaan ilmu, kemahiran dan sikap serta melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Terdapat beberapa langkah dalam model pendekatan masteri. Pertama ialah menentukan hasil pembelajaran. Dalam peringkat ini, guru perlu mengenal pasti apa yang perlu dikuasai, memberi tumpuan terhadap penguasaan hasil pembelajaran serta merancang pelbagai kaedah dan bahan bantu mengajar. Langkah seterusnya ialah proses pengajaran dan pembelajaran. Pada peringkat ini, guru perlu memberi penekanan kepada kemudahan dan keupayaan pelajar yang berbeza kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran, kemudahan yang sedia ada dan masa yang diperuntukkan. Langkah berikutnya ialah penilaian yang mana terdapat tindakan susulan yang berbentuk pemulihan dan pengayaan. Pelajar yang tidak menguasai hasil pembelajaran akan menjalani tindakan pemulihan manakala pelajar yang menguasai hasil pembelajaran akan menjalani tindakan pengayaan dan seterusnya berpindah ke unit pembelajaran seterusnya.

Pendekatan Kesepaduan

Pendekatan kesepaduan dikenali sebagai model ‘integrated’ atau model bersepadu. Pendekatan ini melibatkan penggunaan strategi penggabungan jalinan dan penyerapan. Dalam konteks ini, penggabungan jalinan ialah beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak oleh pelajar. Contohnya ialah kemahiran matematik digabung jalinkan dengan kemahiran  berbahasa.  Penyerapan pula melibatkan proses penyepaduan unsur-unsur yang relevan dengan pengajaran. Penerapan nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan contoh penyerapan.

Dalam erti kata yang lebih mudah difahami, pendekatan kesepaduan ini merupakan kaedah pengajaran yang membolehkan pelbagai mata pelajaran dan kemahiran kurikulum dihubungkaitkan antara satu sama  lain. Pendekatan ini merupakan strategi induktif yang direka bentuk bagi membolehkan pelajar meningkatkan pemahaman terhadap pelbagai bentuk pengetahuan di samping mengamalkan pemikiran aras tinggi berkaitan maklumat yang sedang dipelajari. Antara tujuan pendekatan kesepaduan ialah mengajar pelajar untuk berdikari,  membantu pelajar memahami sejauh mana mata pelajaran dan kemahiran yang dipelajari mempunyai hubung kait antara satu sama lain serta mewujudkan minat pelajar terhadap pembelajaran yang berbentuk peribadi dan individu. Selain itu, pendekatan ini juga menekankan proses pembelajaran dan bukan isi kandungan mata pelajaran dan kemahiran semata-mata.

Pendekatan Koperatif

Pendekatan koperatif ialah suatu strategi pengajaran di mana pelajar saling membantu dalam sebuah kumpulan kecil dengan tujuan dan matlamat yang sama. Menurut Johnson dan Johnson (1991), pembelajaran koperatif melibatkan pelajar bekerjasama dalam mencapai satu-satu objektif pembelajaran. Pendekatan ini menggalakkan pelajar belajar bersama-sama dengan berkesan melalui pembentukan kumpulan. Ia dilaksanakan secara kumpulan kecil supaya pelajar-pelajar dapat bekerjasama dalam kumpulan untuk mempelajari isi kandungan pelajaran dengan pelbagai kemahiran sosial.

Menurut Slavin (1991), pendekatan koperatif akan memberi faedah kepada golongan yang berbeza kebolehan yang belajar dalam satu kumpulan. Melalui pendekatan ini, pelajar dapat bertukar-tukar pendapat dan idea sekali gus meningkatkan kemahiran sosial mereka. Untuk tujuan ini, pelajar perlu betul-betul memahami sub topik tersebut, bukan sekadar menghafal sahaja. Ia mengakibatkan pemprosesan pada aras yang lebih tinggi yang meningkatkan daya ingatan dan seterusnya membolehkan pelajar menunjukkan pencapaian yang lebih baik. Terdapat kajian yang menunjukkan pendekatan koperatif boleh meningkatkan pencapaian dan kemahiran pelajar.

Pendekatan Elektif  

Pendekatan elektif merupakan gabungan daripada pendekatan induktif dan deduktif sebagai satu strategi untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sebagai contoh, guru menggunakan pendekatan strategi berpusatkan bahan untuk kumpulan yang menjalankan aktiviti pengayaan dan strategi berpusatkan guru untuk kumpulan yang menjalankan pemulihan. Walau bagaimanapun, guru juga boleh menggunakan strategi berpusatkan pelajar.

Antara kelebihan pendekatan elektif ialah ia sesuai dilaksanakan untuk pelajar yang mempunyai pelbagai kebolehan, pelajar berpeluang belajar dalam suasana yang lebih meyakinkan dan memudahkan guru mentadbir pengajaran sekali gus meningkatkan pemahaman pelajar. Walau bagaimanapun, pendekatan ini juga mempunyai kelemahannya. Antara kelemahan tersebut ialah guru sukar untuk memilih pendekatan yang hendak digunakan, tugas guru akan bertambah kerana terpaksa menyediakan banyak latihan dan pendekatan ini tidak sesuai untuk pelajar yang lemah.

Isu Berkaitan Pendekatan Pengajaran

Chalk and Talk

‘Chalk and talk’ melibatkan pengajaran secara tradisional di mana guru menerang di hadapan kelas dan pelajar hanya melihat dan mendengar. Kaedah pengajaran ini tidak melibatkan pelajar secara aktif kerana ia merupakan kaedah pengajaran satu hala. Guru hanya menjadikan buku teks sebagai bahan rujukan tanpa menggunakan bahan bantu mengajar (BBM) yang dapat membantu meningkatkan kefahaman pelajar. ‘Chalk and talk’ menjadi isu dalam pelaksanaan pendekatan pengajaran kerana kebanyakan guru kerap kali menggunakan pendekatan tradisional dalam pengajaran mereka. Laporan Penilaian Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang dibuat oleh para pensyarah Maktab Perguruan di Malaysia mendapati sebilangan besar guru-guru tetap dan kekal dalam mengamalkan gaya pengajaran ‘Chalk and Talk’.

Pendekatan tradisional yang kerap kali digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran akan mewujudkan suasana yang membosankan bagi para pelajar lebih-lebih lagi jika mereka tidak memahami kandungan pelajaran tersebut. Menurut Johnson dan Johnson (1989), pengajaran tradisional merupakan pendekatan pengajaran yang pasif dan tidak memberangsangkan. Oleh itu, pelajar tidak berminat dan tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru. Menurut Ng Ying (2004), antara sebab pelajar tidak berminat untuk mengikuti pelajaran dalam kelas adalah kerana corak dan pola pengajaran yang bosan.

Berikutan sesi pengajaran yang membosankan, pelajar akan mengambil tindakan untuk ponteng kelas. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui keratan akhbar Berita Harian yang ditulis oleh Safeek Affendy Razali dan Nor Azizah Mokhtar  yang bertajuk ‘Sikap Guru Punca Ponteng’. Menurut penulis, kajian yang dilakukan mendapati antara sebab pelajar hilang minat belajar dan seterusnya bertindak ponteng ialah cara pengajaran guru yang terlalu laju dan sukar difahami terutama bagi subjek kritikal seperti matematik. Selain itu, kenyataan  daripada  ketua  penyelidik  dari Jabatan  Ilmu  Pendidikan,  Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, menyatakan hasil temu bual yang dijalankan terhadap 472 pelajar ‘kaki ponteng’ mendapati 80 peratus memberitahu mereka suka ke sekolah tetapi sebaliknya tertekan dengan cara guru kelas.

Penggunaan ICT

Melibatkan isu ICT, kebanyakan guru lebih memilih untuk tidak menggunakan ICT dalam proses pengajaran. Hal ini berlaku kerana guru-guru tersebut kurang atau tiada kemahiran dalam pengurusan alat teknologi dan ICT . Selain itu, bilangan makmal ICT yang terhad juga menghalang guru untuk mengaplikasikan penggunaan ICT dalam proses pengajaran. Faktor-faktor tersebut secara tidak langsung menghalang proses pengajaran yang berkesan. Menurut Kimmins dan Bouldin (1996), teknologi boleh membantu perkembangan konsep dan kemahiran matematik.

Sebagai contoh, topik sudut dongak dalam mata pelajaran matematik tingkatan empat memerlukan penggunaan ICT agar pelajar lebih mudah untuk memahami topik tersebut. Bagi pelajar yang bersifat abstrak,  mereka mudah untuk memahami topik tersebut. Namun, bagi pelajar yang bersifat konkrit, mereka sukar untuk membayangkan sesuatu keadaan dan sekali gus menganggap matematik sebagai mata pelajaran yang susah.

Menurut Norhayati Abd Mukti (2000), guru yang mempunyai lebih pengetahuan menunjukkan sikap yang lebih positif terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran dan guru yang kurang berpengetahuan menyedari bahawa mereka memerlukan lebih kemahiran dan pengetahuan untuk menggunakan teknologi dalam bilik darjah. Oleh itu, bagi menangani masalah guru kurang mahir dalam penggunaan ICT, guru tersebut perlu dilibatkan dengan kursus berkaitan ICT seperti Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) berkaitan ICT. LADAP bertujuan untuk memberi input kepada guru bagi meningkatkan professionalism dan mutu kerja mereka.

Faktor Guru

Isu guru malas untuk membuat persediaan dan perancangan dalam pengajaran yang bakal berlangsung menjadi perbualan hangat dalam melibatkan pendekatan pengajaran yang dilaksanakan dalam bilik darjah. Mohd Ali Hassan, Presiden Permuafakatan Ibu Bapa Nasional (MAPIN) dalam Utusan Online (2004), guru-guru sekolah sekarang semakin hilang kreativiti dalam menarik minat pelajar. Selain itu, kebanyakan guru menjadikan faktor masa sebagai alasan untuk mereka tidak  melaksanakan  pendekatan pengajaran dalam bilik darjah. Menurut kajian oleh Norhayati Abd Mukti (2000), guru tidak mempunyai cukup masa untuk menyediakan bahan pengajaran kerana dibebani dengan masa mengajar yang penuh di samping tugas-tugas lain yang dipertanggungjawabkan.

Di samping itu, terdapat guru yang tidak suka kepada perubahan. Ia bermaksud, guru-guru tersebut masih ingin mengekalkan pendekatan pengajaran berbentuk tradisional. Kebanyakan mereka berpendapat, pelajar-pelajar tidak memberikan kerjasama sekiranya guru melaksanakan pendekatan pengajaran yang perlu melibatkan pelajar bergerak aktif. Contohnya, pelajar tidak memberikan kerjasama dalam pembentukan kumpulan yang diarahkan oleh guru. Guru merupakan komponen yang paling penting untuk menjayakan sesuatu kurikulum matematik dalam bilik darjah. Menurut Aravena & Caamario (2009), kualiti pendidikan matematik sangat bergantung pada usaha guru dalam bilik darjah. Oleh itu, guru haruslah bersedia untuk berubah bagi mewujudkan prubahan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Guru perlulah berseida dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi pelajar serta memberikan pengajaran yang lebih berkesan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, sebagai guru atau bakal guru, kita perlu mengaplikasikan pendekatan pengajaran yang terdapat dalam dunia pendidikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, pendekatan pengajaran yang dilaksanakan secara tidak langsung dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Menurut Amir Hassan (2012), penggunaan kaedah yang pelbagai akan menjadikan sesuatu pengajaran itu menarik dan akan memberi ruang untuk membolehkan pelajar terlibat secara aktif sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran tanpa rasa jemu.

Peningkatan minat pelajar dalam pembelajaran akan meningkatkan pencapaian mereka dalam sesuatu mata pelajaran terutamanya matematik. Hal ini kerana, guru merupakan tunjang kepada kejayaan pelajar-pelajarnya. Pengajaran guru yang membosankan akan memberi kesan kepada pencapaian pelajar. Faktor guru boleh menyebabkan pelajar-pelajar suka atau tidak kepada mata pelajaran matematik, (Dutton, 1956). Kenyataan tersebut disokong oleh Mohd Halim (1988), masalah guru memberi kesan yang besar kepada pencapaian pelajar-pelajar dalam matematik.


Wednesday 23 April 2014

TUGASAN KURSUS



Dalam kursus SME 3023 ini, kami telah diamanahkan untuk menyelesaikan beberapa tugasan bagi memenuhi syarat lulus bagi kursus ini. Antara tugasan yang diberikan ialah: 

 Tugasan 1 : Pembentangan Isu (Kumpulan)- 20% 
 Tugasan 2 : Penulisan Isu (Individu) - 10% 
 Tugasan 3 : Pembinaan Blog (Kumpulan) - 20% 
 Tugasan 4 : Mini Projek (Individu) - 20%  
 Final         :  30%

Selamat menyiapkan tugasan!